Tuesday, December 11, 2018




Biografi Ibnu Sina

Tokoh satu ini saat terkenal dalam dunia kedoktoran kerana sumbangannya terhadap perkembangan ilmu kedoktoran dan banyak tulisan-tulisannya menjadi rujukan bagi sarjana-sarjana kedoktoran barat. Berikut  adalah profilnya bernama lengkap Syeikhur Rais, Abu Ali Husein bin Abdillah bin Hasan bin Ali bin Sina, yang dikenal dengan sebutan Ibnu Sina atau Aviciena lahir pada tahun 370 hijriyah di sebuah desa bernama Khormeisan dekat Bukhara. Sejak berumur kanak-kanak lagi, Ibnu Sina yang berasal dari keluarga bermadzhab Ismailiyah sudah akrab dengan pembahasan ilmiah terutama yang disampaikan oleh ayahnya. Kecerdasannya yang sangat tinggi membuatnya sangat menonjol sehingga salah seorang guru menasihati ayahnya agar Ibnu Sina tidak terjun ke dalam pekerjaan apapun selain belajar dan menimba ilmu.

Dengan demikian, Ibnu Sina secara penuh memberikan perhatiannya kepada aktiviti keilmuan. Kebijaksanaannya membuat ia cepat menguasai banyak ilmu, dan walaupun masih berusia muda, beliau sudah mahir dalam bidang kedoktoran. Beliau pun menjadi terkenal sehingga Raja Bukhara Nuh bin Mansur yang memerintah antara tahun 366 hingga 387 hijriyah yang sedang jatuh sakit memanggil Ibnu Sina untuk merawat dan mengubatinya.

Berkat itu, Ibnu Sina dapat memasuki ke perpustakaan istana Samani yang besar. Kata Ibnu Sina mengenai perpustakan itu;

“Semua buku yang aku inginkan ada di situ. Bahkan aku menemukan banyak buku yang kebanyakan orang tidak pernah mengetahui namanya. Aku sendiri pun belum pernah melihatnya dan tidak akan pernah melihatnya lagi. Kerana itu aku dengan giat membaca kitab-kitab itu dan sebanyak mungkin memanfaatkannya, Ketika usiaku menginjak 18 tahun, aku telah berhasil menyelesaikan semua bidang ilmu.” 

Ibnu Sina menguasai berbagai ilmu seperti hikmah, mantiq, dan matematik dengan pelbagai cabangnya. Kesibukannya di pentas politik di istana Mansur, raja dinasti Samani, juga kedudukannya sebagai menteri di pemerintahan Abu Tahir Syamsud Daulah Deilami dan konflik politik yang terjadi akibat perebutan kekuasaan antara kelompok bangsawan, tidak mengurangi aktiviti keilmuan Ibnu Sina. Bahkan, panjangnya ke berbagai penjuru dan penahanannya selama beberapa bulan di penjara Tajul Muk, penguasa Hamedan, tidak menghalangi beliau untuk melahirkan ratusan jilid karya ilmiah dan risalah.

Ketika berada di istana dan hidup tenang serta mudah memperoleh buku yang diinginkan, Ibnu Sina menyibukkan diri dengan menulis kitab Qanun dalam ilmu kedoktoran atau menulis ensiklopedia falsafahnya yang dinamai kitab Al-Syifa’. Saat berada di dalam penjara, Ibnu Sina menyibukkan diri dengan menggubah bait-bait syair, atau menulis perenungan agamanya dengan metode yang indah.

Di antara buku-buku dan risalah yang ditulis oleh Ibnu Sina, kitab al-Syifa’ dalam falsafah dan Al-Qanun dalam ilmu kedoktoran dikenal sepanjang massa. Al-Syifa’ ditulis dalam 18 jilid yang membahas ilmu falsafah, mantiq, matematik, ilmu alam dan ilahiyyat. Mantiq al-Syifa’ saat ini dikenal sebagai buku yang paling terkenal dalam ilmu mantiq islam, sementara pembahasan ilmu alam dan ilahiyyat dari kitab al-Syifa’ sampai saat ini juga masih menjadi bahan rujukan



Pendidikan Ibnu Sina

  • Ibnu Sina mempelajari ilmu Al Quran semenjak berumur lima tahun
  • Beliau menghafaz Al Quran ketika berumur sepuluh tahun
  • Beliau mempelajari ilmu fikah dan tasawuf daripada Ismail Al Zahid, Ilmu hisab dan prinsip-prinsip geometri daripada Muhammad Al Masaah, ilmu falsafah daripada Abu Abdillah Al-Natili, serta ilmu sains dan ilmu astronomi daripada Al Biruni
  • Semasa berusia 16 tahun, beliau telah menguasai ilmu perubatan
  • Berkat kesungguhan yang tidak mengenal jemu, beliau muncul sebagai seorang pakar perubatan yang terkemuka


SUMBANGAN IBNU SINA DALAM BIDANG PERUBATAN

- Karya dalam Perubatan


Beliau banyak menghasilkan karya dalam perubatan seperti ‘al-Qanun fi al-Tib’, ‘al-Adwiyah al-Qalbiyyah’, dan ‘al-Alfiyyah al-Tibbiyyah’. Karya beliau diterjemahkan dalam pelbagai bahasa seperti Inggeris, Hebrew dan Latin.

Buku karangannya al-Qanun Fit- Tibb (Peraturan Perubatan) terdiri daripada 14 jilid, telah dianggap sebagai himpunan perbendaharaan ilmu perubatan. Ilmu perubatan moden banyak mendapat pelajaran daripada Ibnu Sina, dari segi pengunaan ubat, diagnosis dan pembedahan.
Buku al Qanun fil Tabib telah diterbitkan di Rom pada tahun 1593 sebelum dialihbahasakan ke dalam bahasa Inggeris dengan judul Canon of Medicine. Pada abad ke 12 M Gerard Cremona yang berpindah ke Toledo, Sepanyol telah menterjemahkan buku Ibnu Sina ke bahasa Latin. Buku ini menjadi buku rujukan utama di universiti-universiti Eropah hingga 1500 M. Buku tersebut juga telah diulang cetak sebanyak 16 kali dan 15 edisi dalam bahasa Latin dan sebuah edisi dalam bahasa Yahudi (Hebrew). Di samping itu buku tersebut turut diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, Perancis , Sepanyol dan Itali . Pada abad ke 16 M , buku ini dicetak 21 kali.
Al-Qanun Fit-Tibb juga digunakan sebagai buku teks kedoktoran di pelbagai universiti di Perancis seperti di Sekolah Tinggi Kedoktoran Montpellier dan Louvin yang menggunakannya sebagai bahan rujukan pada abad ke 17 M. Sementara itu Prof. Phillip K. Hitpi telah menganggap buku tersebut sebagai “Ensiklopedia Kedoktoran”.

Dalam jangka masa tidak sampai 100 tahun, buku itu telah dicetak ke dalam 15 buah bahasa. Pada abad ke-17, buku tersebut telah dijadikan sebagai rujukan asas di universiti-universiti di Itali dan Perancis. Malahan sehingga abad ke-19, buku karangan Ibn Sina itu masih diulang cetak dan digunakan oleh para pelajar perubatan. Ia dijadikan rujukan utama dalam bidang perubatan di seluruh pusat pengajian termasuklah di Frankfurt University, Germany, University of Paris, dan Oxford University.

Al- Qanun Fit-Tibb juga turut memuatkan perbincangan mengenai penyakit saraf. Buku tersebut juga mengajar mengenai cara-cara pembedahan dan menekankan keperluan pembersihan luka. Di dalam buku tersebut terdapat gambar-gambar dan rajah-rajah yang sekaligus menunjukkan pengetahuan anatomi Ibnu Sina yang amat luas dan mendalam.

Ibnu Sina juga telah menghasilkan sebuah buku yang diberi judul Remedies for The Heartyang mengandungi sajak-sajak perubatan. Dalam buku tersebut, beliau telah menceritakan dan menghuraikan berkaitan 760 jenis penyakit  dan cara untuk mengubatinya.



Pencapaian Dalam Bidang Perubatan

Penemuan penyakit baru dan puncanya
·         pengaruh kuman dalam penyakit
·         jangkitan virus seperti TB
·         Penyakit Rubella, allergy (alahan), cacar (smallpox) dan sebagainya.

 Penemuan dalam bidang farmasi
·         menghasilkan ubat yang mujarab untuk pelbagai penyakit
·         menghasilkan ubat bius
·         membangunkan teknologi perubatan
·         mencipta benang yang khusus untuk menjahit luka pembedahan
·         mencipta picagari

 Kesan peninggalan ibnu sina dalam perubatan
·         memperkenalkan metode pemerhatian (observation) dan analisis


Sumbangan Dalam Bidang Ilmu dan Pemikiran

Ibnu Sina juga merupakan seorang ahli falsafah yang terkenal. Beliau pernah menulis sebuah buku berjudul al-Najah yang membicarakan persoalan falsafah. Pada usia 21 tahun, ketika berada di Khawarizm, beliau mula menulis karyanya yang pertama yang berjudul “Al-Majmu” yang mengandungi pelbagai ilmu pengetahuan yang lengkap. Kemudian beliau telah melanjutkan penulisannya dengan menulis buku-buku lain iaitu 116 karya dalam pelbagai bidang seperti falsafah, mantik, matematik, astronomi, kimia, fizik, biologi dan sains politik. Karya-karya beliau telah dihimpun oleh Domonican Institute for Oriental Studies di Kaherah, Mesir. Dalam pada itu, karya-karya beliau telah diterjemahkan ke bahasa Arab pada tahun 1950 oleh Liga Arab dan diberi tajuk ‘Muallafat Ibnu Sina’. Jasa Ibn Sina dalam bidang perubatan dan keilmuan amat dihargai sehingga sebuah institusi pendidikan di Hungary dinamakan sebagai ‘Avicenna College’.


Penemuan-Penemuan Baru

Ibnu Sina dikenali sebagai seorang saintis yang banyak memberikan sumbangan terhadap dunia ilmu pengetahuan melalui penemuan-penemuan barunya.
Bidang Geografi
Ibnu Sina juga merupakan seorang ahli geografi yang mampu menerangkan bagaimana sungai-sungai berhubungan dan berasal dari gunung-ganang dan lembah-lembah. Malahan beliau telah membuktikan kemampuannya dalam mengemukakan suatu hipotesis atau teori pada waktu itu, yang gagal dilakukan oleh ahli Yunani dan Romani sejak dari Aristotles
Bidang Geologi, Kimia

Sumbangan Ibnu Sina dalam bidang geologi dan kimia memang tidak dapat disangsikan lagi. Menurut A.M.A Shushtery, karangan Ibnu Sina mengenai ilmu pertambangan (mineral) menjadi sumber geologi di Eropah. Beliau juga meninggalkan penemuan-penemuan yang bermanafaat dalam bidang kimia. Menurut Reuben Levy, Ibnu Sina telah menerangkan bahawa benda-benda logam sebenarnya berbeza antara satu dengan yang lain. Setiap logam terdiri dari pelbagai jenis. Penerangan tersebut telah memperkembangkan ilmu kimia yang telah dirintis sebelumnya oleh Jabbir Ibnu Hayyan Bapa Kimia Muslim. Sebahagian daripada karyanya adalah seperti berikut:

1.Fi Aqsam al-Ulum al-Aqliyah (On the Divisions of the Rational Sciences) tentang pembahagian ilmu-ilmu rasional.

2.Bidang metafizika , “Ilahiyyat” (Ilmu ketuhanan)

3.Bidang psikologi , “Kitab an-Nayat” (Book of Deliverence) buku tentang kebahagiaan jiwa.

4.Bidang sastera arab “Risalah fi Asab Huduts al-Huruf” ,risalah tentang sebab-sebab terjadinya huruf.

5.Bidang syair dan prosa “Al-Qasidah al- Aniyyah” syair-syair tentang jiwa manusia.

6.Bidang politik “Risalah as-Siyasah” (Book on Politics) – Buku tentang politik.


Kesimpulan

Mutakhirnya, Ibnu Sina adalah seorang tokoh ilmuan perubatan yang unggul dan berinovatif dimana beliau banyak menghasilkan karya dalam pelbagai bidang ilmu seperti bidang perubatan dan bidang falsafah. Oleh itu, beliau telah menghasilkan karya-karya yang hebat dalam bidang perubatan di mana buktinya beliau telah memberi banyak kognotif dan psikomotor berdasarkan karya penyelidikan beliau tersebut kepada para saintis dan doctor-doktor pada masa dahulu dan kini. Selain itu, beliau merupakan seorang penghafaz al-Quran sejak dari kecil lagi. Beliau juga telah menafsirkan ayat al-Quran untuk mendukung  kesemua karya falsafahnya.
Kebijaksaan Ibnu Sina telah mendapat pengiktirafan dunia dalam bidang perubatan sekaligus memberi sumbangan besar kepada ketamadunan Islam sejagat. Hal ini dibuktikan apabila Ibnu Sina telah berjaya menghasilkan ubat yang mujarab untuk pelbagai jenis penyakit seperti penemuan beliau terhadap ubat bius dan membangunkan teknologi perubatan  dengan mencipta picagari dan lain-lain lagi. Oleh itu, secara keseluruhannya, kita sebagai generasi muda sedang mengorak langkah dalam mencapai kejayaan mestilah mencontohi keperibadian yang ada pada Ibnu Sina seperti kesungguhan dan semangat yang hebat dalam menuntut dalam pelbagai bidang ilmu. Harapan kami agar semua masyarakat mengambil inisiatif dalam kita membuat kajian atau penyelidikan bagi menghasilkan penemuan baru dan lebih hebat bagi setiap cabang ilmu terutamanya dalam ilmu perubatan dan falsafah agar menjadi suatu sinar harapan yang baru kepada semua para ilmuan di serata dunia.


Sumber Rujukan :

- tamadunislamibnusina.blogspot.com/

https://www.scribd.com/doc/239337661/Riwayat-Hidup-Ibnu-Sina-Dan-Sumbangannya-Dalam-Tamadun-Islam

http://najibah5284.wixsite.com/ibnu-sina-home-blog/single-post/2015/12/08/PENDIDIKAN-IBNU-SINA

Biografi Ibnu Sina Tokoh satu ini saat terkenal dalam dunia kedoktoran kerana sumbangannya terhadap perkembangan ilmu kedoktoran d...